Perkeso jelaskan sebab ganti sistem IT berjuta ringgit

sfconsultingbd

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (iPerkeso) didakwa terpaksa menghabiskan ratusan juta ringgit untuk memperbaiki masalah berterusan berkaitan sistem IT.

“Begitu banyak wang pencarum dibelanjakan untuk (menggantikan) sistem demi sistem. Perkeso masih tidak mempunyai sistem yang sesuai, mesra pengguna,” kata sumber yang biasa dengan operasi Perkeso kepada FMT.

Sumber itu berkata, masalah bermula selepas Perkeso melantik sebuah syarikat swasta pada 2010 untuk membangunkan sistem IT 17 modul yang dikenali sebagai Perkeso Information Technology Automation Reformation (Pintar) bagi menggantikan sistem CORE.

Katanya, Pintar yang sepatutnya berfungsi pada Julai 2013 mengalami kelewatan dan akhirnya hanya 3 daripada 17 modul itu dihantar serta digunakan.

Pada 2015, Pintar disingkirkan dan 2 sistem baru diperkenalkan – ASSIST dan iPERKESO.

Sumber itu berkata, syarikat di sebalik Pintar itu dibayar kira-kira RM100 juta untuk kerja mereka, termasuk menghantar perisian dan perkakasan.

“Tiada isu serius dengan Pintar,” dakwanya sambil menambah timbul kebimbangan dalam penawaran kontrak untuk membangunkan sistem baru.

“Kos ASSIST dan iPERKESO lebih mahal daripada Pintar, walaupun skopnya lebih kecil berbanding apa yang diharapkan daripada sistem itu.”

Katanya, tidak seperti iPERKESO, ASSIST “tidak mesra pengguna” seperti yang diketahui Perkeso selepas menerima aduan daripada pencarumnya.

Tetapi, iPERKESO dibatalkan dan digantikan sistem lain dikenali sebagai “Matrix” pada tahun lalu.

Perkeso ketika dihubungi berkata, membangunkan sistem hebat dengan “kesediaan teknologi” untuk mengendalikan jutaan akaun memerlukan kos tinggi.

Ketua Pegawai Strategi dan Transformasinya, Edmund Cheong berkata ia perlu mengambil kira kos sokongan dan penyelenggaran.

Katanya, Pintar mempunyai fungsi terhad walaupun infrastrukturnya masih digunakan hari ini.

Katanya, penilaian terperinci menunjukkan penyingkiran Pintar boleh mengurangkan kerugian yang mungkin timbul, jika Perkeso membayar untuk sistem yang tidak boleh berfungsi sepenuhnya.

Beliau mengesahkan Perkeso sudah membayar untuk sistem Pintar.

Beliau turut mengesahkan sistem ASSIST ditawarkan menerusi rundingan terus kerana ia sejajar manual pemerolehan berdasarkan garis panduan Kementerian Kewangan.

Mengenai iPERKESO, Cheong berkata, ia adalah projek tanggungjawab sosial korporat dan tidak ditawarkan melalui sebarang proses perolehan atau rundingan terus.

Katanya, kos gabungan ASSIST dan iPERKESO tidak melebihi RM250 juta.

Beliau berkata, ASSIST terus ditambah baik dan terdapat kemajuan sejak 2018.

Katanya, masa menunggu lebih singkat untuk majikan melakukan urus niaga mereka sekarang.

Cheong berkata, sistem “Matrix” bukan pengganti iPERKESO dan ia dibangunkan untuk menampung keperluan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Ia mempunyai ciri perniagaan berlainan kerana Akta 789 direka untuk menampung keperluan pekerja ekonomi gig.”

Katanya, Matrix menelan belanja RM3.4 juta termasuk penyelenggaraan dengan pembeliannya mematuhi manual pemerolehan Perkeso dan diteliti lembaga pengarahnya.